Aku dan Ah Chai
Terlebih dahulu aku nak ucapkan jutaan Terima Kasih kepada yang mengirim ucapan Hari Lahir kepada aku. Lebih 2300 ucapan yang diterima dan aku tak mampu menjawab satu persatu sebab bila aku klik " more " dia dok musing tak ketahuan punca. Maafkan aku kepada yang tidak menerima ucapan Terima Kasih. 

Ah Chai adalah followers aku yang tinggal di Kulim. Dilahirkan dan dibesarkan di Sungai Bayor Selama Perak. Berpindah ke Kulim sekitar tahun 2000. Kini memiliki Kedai Hardware di Simpang Tiga Lahar Yooi, Seberang Prai, Penang.

Ah Chai antara customer terawal aku, sejak aku mulakan perniagaan pada 4hb Jun 2020. Katanya dia kenal aku dan menyimpan nombor WhatsApp aku melalui pembacaan di Facebook. 

Sekilas pandang aku kepada Ah Chai, seorang keturunan Cina yang lahir dikelilingi oleh masyarakat melayu di ulu Selama Perak. Bahasa Melayu dia, agak fasih dan bertutur telo orang kampung.

Pada pandangan aku, Ah Chai amat faham dengan budaya dan resam orang Melayu. Dia kagum dengan amalan sedekah jariah dan derma kepada fakir miskin tanpa mengira agama dan keturunan. Itulah katanya ada aku.

Seperti orang lain yang berkunjung ke Pak Bara, aku akan pastikan depa rasa selamat dan gembira. Jika waktu malam bila depa ajak mengopi, aku akan bawa ke kedai janda di Pekan Langu. Sambil minum dan berbual boleh tengok lenggang lengok mak janda dan anak dara yang lawa. Kata sahabat aku Arie dari Baling, letak hantaran thb300,000 pun dia sanggup bayar. Itulah nak digambarkan lawanya anak dara tokey kedai kopi lulusan Universiti di Songkhla. 

Ah Chai bercerita betapa rindunya suasana masyarakat kampung sekitar tahun 70-an dan 80-an. Melayu dan Cina saling hormat-menghormati dan selesa tinggal bersama dalam satu kampung.

Aku dan Ah Chai bersetuju bahawa orang politiklah yang sering menyalakan api perkauman demi kelangsungan politik mereka. Jika perkara ini berlarutan, masyarakat Malaysia akan hidup dalam prasangka sampai bila-bila. 

Aku juga sependapat dengan Apek Cina, bilamana perasaan curiga antara kaum ujud sejak dulu lagi. Kata Apek Cina, generasi yang rapat dengan Facebook adalah generasi yang telah diracuni pemikiran mereka agar berprasangka antara kaum. Umpamanya Melayu didoktrinkan pemikiran untuk menganggap Cina adalah musuh dan begitulah sebaliknya.

Namun Apek Cina berpendapat, generasi Tik Tok sudah tidak perduli tentang perkara itu. Tidak terikut dengan generasi Facebook.

Namun bila aku sentuh bab penyatuan bangsa Malaysia, ramai akan menunding jari kepada Sekolah Jenis Kebangsaan ( SJK ). 
SJK ujud sejak sebelum merdeka. Bila merdeka tidak diujudkan satu perlembagaan khas untuk hanya mewujudkan cuma sekolah melayu. Namun dibenarkan SJK diteruskan.

Selepas 60 tahun merdeka, keadaan menjadi kian rumit untuk menutup SJK. Jika disentuh SJK maka ahli politik akan mencurah minyak. Bangsa-bangsa yang terlibat mula menyala dan membakar. 

Keadaan di Semenanjung Malaysia amat beza ketara dengan Sabah dan Sarawak. Disana isu ini tidak serumit, seperti di Semenanjung. 

Mungkin ada mekanisme lain yang boleh meyatu padukan bangsa Malaysia tanpa menutup SJK. Contohnya undang-undang menggunakan cuma Bahasa Melayu dalam apa saja urusan kerajaan dan swasta. Mahu tidak mahu, semua bangsa akan mengutamakan bahasa melayu walaupun mereka dari latar SJK. 

Yang peliknya di Malaysia, kita lebih mengutamakan Bahasa lain dari Bahasa Malaysia. Contoh, Kementerian Kerajaan, kita lebih kenal MITI dari KPADI. Cuba buka website Miti. 

Kita masih menggunakan jurubahasa ketika perbicaraan sesama rakyat Malaysia. Kerajaan menyediakan jurubahasa di mahkamah kerana kerajaan tahu ada rakyat yang tidak fasih berbahasa melayu. Namun begitu, walaupun kerajaan TAHU tapi tiada tindakan untuk memperbaiki cara pembelajaran bahasa melayu di peringkat sekolah. Yang ni aku tak faham, kenapa ?

Aku rasa Bahasa Melayu patut disebut Bahasa Malaysia atau Bahasa Nusantara. Jika sebut Bahasa Melayu, ianya terasa bahasa kaum atau suku dan bukannya bahasa negara.

Bila Bahasa Melayu hendak dijadikan Bahasa Utama Asean maka Indonesia membantah dan berpaksikan kepada fakta, bahawa Bahasa Indonesia lebih ramai penggunaan di Asean menurut jumlah penduduk megara Indonesia itu sendiri. 

Namun bagi rakyat Indonesia, penggunaan bahasa Indonesia tidak dianggap rasis kerana bahasa rasmi negara Indonesia. Sebaliknya bahasa melayu adalah bahasa orang melayu dan mereka cuma sebahagian dari bangsa yang ada di Malaysia. 

Bagi orang Cina dan India, mereka tidak menganggap bahasa melayu adalah bahasa negara walaupun bahasa melayu ditetapkan sebagai bahasa rasmi Negara Malaysia.  Depa anggap Bahasa Melayu adalah bahasa orang melayu bukan bahasa malaysia. 

Oleh kerana Malaysia dihuni oleh perbagai bangsa, adalah lebih sesuai untuk menamakan satu bahasa yang mewakili semua bangsa dan kaum di Malaysia. 

Aku rasa perkataan Bangsa dalam borang-borang kerajaan perlu dimansuhkan. Setiap rakyat Malaysia, waimah dia melayu cina atau india, perlu disebut atau dipanggil Bangsa Malaysia. Cuma agama yang membezakan kita.

Aku menulis sebab aku rasa aku betul dan aku tak tahu samaada hangpa bersetuju atau tidak. Inilah yang terhasil bila kita berada diluar negara. 

Sesiapa rakyat Malaysia yang kita jumpa diluar negara, kita tidak rasis. Kita utamakan negara. Aku belajar dan mula sedar dari pengalaman membantu rakyat malaysia yang ditimpa musibah di Thailand. Aku bantu bukan kerana bangsa dia sama dengan bangsa aku. TAPI aku bantu kerana dia adalah Bangsa Malaysia. 

#akudanahchai
#cjs406
#cikgujoesatun
#karlisatravel
6-06-2022