Masa aku budak-budak dulu, ayah aku bercerita bahawa kawan-kawan tokwan aku ramai yang telah meninggal dunia. Tokwan aku masih bertahan walaupun usianya dah 84 tahun.
Namun selang 10 tahun, tokwan aku pun meninggal dunia. Tinggallah ayah aku mewarisi kehidupan dan legasi Tokwan aku.
Selang lima hingga enam tahun, satu-satu kawan ayah aku meninggal dunia. Ayah aku dianggap antara orang lama yang bertahan. Namun aku tengok hidupnya kesunyian kerana kawan-kawan tempat dia bergurau senda telah tiada.
Kini ayah aku telah pun pergi untuk selamanya, maka tinggallah aku mewarisi legasinya. Namun kebelakangan ini, aku dengar berita dari Sungai Seluang bahawa ramai kawan-kawan aku telah meninggal dunia.
Arwah Leman, pernah jadi Tekong regu sepaktakraw bersama aku dan arwah Manap telah lama meninggal dunia. Minggu lepas Manap juga ikut bersama. Dua hari lepas Buji pernah jadi tekong regu aku, juga telah meninggal dunia.
Usia mereka belum mencecah 60 tahun. Leman dan Buji diusia lewat 40-an. Manap pada usia 57 tahun.
Jika kita berpandukan usia Rasullullah yang wafat SEKITAR 62 tahun, aku ada lebih kurang 8 tahun lagi untuk meneruskan kehidupan ini.
Dengan ini KPI kehidupan aku adalah sehari mengurangkan satu musuh dan mencari lebih ramai kawan-kawan untuk mencipta memori baik agar kematian aku nanti dikenang sebagai sahabat yang baik.
Kurangkan persaingan dalam mengejar cita-cita di dunia, kerana cita-cita yang hakiki adalah kematian Husnul Khatimah.
0 Comments
Post a Comment